Cari Blog Ini

Isnin, 27 Julai 2020

Jin Perasuk Bertindak Balas



Jumaat itu, aku menaiki bas Express MARA Kota Bharu-Kuantan-Kuala Lumpur tetapi aku turun di Benus, Bentong kerana rumah keluarga ku terletaknya di sini. Aku sebenarnya payah untuk pulang ke kampung disebabkan tugas, namun disebabkan aku perlu menyelesaikan satu tugas di Raub ia itu pada esok harinya. Jadi aku mengambil kesempatan cuti ini untuk pulang ke rumah menjenguk keluarga.

Sesampai aku dirumah, aku melihat adikku masih dalam keadaan yang sama seperti beberapa tahun yang lalu. Dia seorang adik lelaki yang menghidapi penyakit misteri selama bertahun-tahun. Kepulangan ku tidak dihiraukannya. Dia tidak mengetahui apa yang berlaku disekitar dirinya. Tidak sepatah perkataan yang keluar dari mulutnya, apatah lagi memalingkan muka kearahku. Dia seolah berada didunianya sendiri. Sudah bermacam-macam bomoh datang mengubatinya tetapi masih gagal.

Atas kehendak ayah, aku diminta belajar ilmu batin dan kedukunan. Dan kerana itulah aku berguru dengan seseorang yang aku panggil dia 'Abang'. Dia yang berasal dari Sumatera. Apa yang aku tahu, dia sorang bomoh yang handal pada masa itu. Namun, sepanjang aku berguru dengan beliau, aku belum pernah lagi mengubati sesiapa termasuk adik aku ini.

Jadi, pada malam itu aku ingin mencuba mengubati adik ku ini dengan ilmu yang aku pelajari itu. Aku mulakan dengan membaca mentera yang mudah-mudah seperti yang diajar sebagai permulaan. Aku tak mengambil masa yang lama dan sepanjang pengubatan itu tiada apa-apa yang pelik berlaku. 
Dan jika ada kesempatan lagi, aku akan sambungi lagi. Sekali lagi aku ulang cakap tidak ada apa-apa perubahan keatas adik aku itu. Dia tetap macam itu juga. Tidak berkesan.

Keesokannya aku pagi-pagi lagi berangkat ke Raub dengan menaiki bas. Perjalanan mengambil masa lebih kurang dalam 45 minit. Dan di dalam bas aku memilih untuk duduk di bahagian tengah bas. Tidak terlalu ramai penumpang pada hari itu.

Baru separuh perjalanan merentasi Lurah Bilut, tiba-tiba aku terasa pening dan mual. Aku cuba bertahan tapi beberapa saat kemudian semua isi perut aku terkeluar bersama lendir kehijauan bertaburan di lantai bas. Jari jemari ku tiba- tiba mengeleding seperti jari penari zapin dan badan ku mula mengeras. Aku telah dirasuk.

Aku lantas teringat, adakah kejadian ini ada kaitan dengan pengubatan aku malam tadi keatas adik aku itu. 'Abang' pernah memberitahu aku sebelum ini yang adik aku itu dikawal oleh dua ekor jin. Jin atau digelar sebagai jembalang oleh 'Abang' ini seekor jantan dan seekor betina. Dari kata-kata 'Abang' dia seperti tahu akan 'sesuatu'. Tetapi aku tidak mahu menuduh dan ambil tahu adakah jembalang itu dikirim seseorang untuk menghuru harakan keluarga aku. 

Sesampai aku di Raub, aku turun dari bas dalam keadaan badan yang masih mengeras. Aku berjalan seperti robot, nasib tiada penumpang perasaan apa yang berlaku keatasku tadi kerana aku lihat mereka terus turun dari bas seperti tiada apa yang berlaku.

Aku terus menapak ke Restoran kawan aku yang kebetulan terletak berhampiran hentian bas Raub. Aku ingin merehatkan diri dan memulihkan keadaanku disitu buat seketika. Aku meminta segelas air kosong, aku jampi dan minum hingga habis. Alhamdulillah, tenagaku beransur pulih dan aku meneruskan perjalanan yang tertangguh hampir satu jam. Al hamdulillah segala tugas yang diamanahkan kepada aku dapat diselesaikan dengan bantuan seorang sahabat aku. Tidak perlu aku beritahu tugas apa kerana ini sangat bersifat kepribadian. Faham..

Setelah setelah selesai tugas aku itu, aku pun baliklah ke Kuantan, beberapa hari kemudian aku mendapat perkhabaran dari keluargaku, mengatakan sakit adik aku bertambah tenat, tetapi aku tidak dapat balik menjenguknya disebabkan rentangan kerja. Dan beberapa bulan kemudian dia meninggal dunia dalam keadaan yang menyedihkan. Aku dapat balik untuk turut sama mengkebumikan jenazahnya.
Seisi keluarga berasa amat sedih sekali diatas apa yang telah berlaku. Sehingga kini aku tidak dapat mengeluarkan sebarang kenyataan diatas kematian adik aku itu apa penyebabnya. Kami berdoa semoga beliau tenang di alam sana setelah sekian lama hidup terseksa. Ajalnya sudah sampai. Kami menerima sajalah ketentuan Allah SWT itu.

Tiada ulasan: