Cari Blog Ini

Rabu, 11 Mac 2026

Semoga Kita Baik-baik Sahaja

  Sejak-sejak kebelakang ini, pemikiran rakyat kebanyakkan menjadi keliru, terutama dalam soal agama dan politik. Sebahagian besar mereka seolah-olah tak tahu hendak meletakkan diri mereka. Mereka benar jadi keliru.

  Dalam soal agama mereka banyak bergantung kepada individu yang mereka percaya sebab kelantangan mereka, berhujah dan berpidato. Mereka hanya mampu mengisi kerohaniah umah, tetapi tidak mampu membangunkan umah dari segi ekonomi. Sedangkan mereka dipilih sebagai wakil untuk membangunkan umah bukan saja menjanji syuga tetapi membuatkan rakyat berjaya dalam kehidupan duniawi, tampa kesejahteraan dunia bagaimana umah bisa melakukan ibadah dengan sempurna, misalnya untuk ke tanah suci perlukan wang yang besar. Namun begitu rakyat masih tegar menyokong mereka.

  Dari segi politik terdapat dua parti besar orang Melayu ia itulah UMNO dan PAS. UMNO tidak melebelkan terang-terang sebagai parti Islam, tetapi pada hakikatnya mereka banyak menyumbang kepada Islam, berbeda dengan PAS terang-terangan mahu mewujudkan sebuah negara Islam berlandaskan hukum huddud.

  Dari segi kemampuan nampak gaya PAS kurang berupaya memerentah negara dan tidak berupaya mewujudkan suasana harmoni didalam pakatan politiknya dengan parti-parti lain. Ini tidak sama sekali berlaku kepada UMNO dengan mana-mana parti politik yang duduk dalam satu barisan ia itu BARISAN NATIONAL.

  Walau bagaimana pun kita harap walau apa pun pilihan rakyat, harap semuanya baik-baik saja.

Isnin, 9 Mac 2026

Misteri Bukit Tagar

Misteri Bukit Tagar. Kesah ini terjadi beberapa tahun yang lalu pada satu hari ahad, tengah hari. Aku ketika itu sedang menunggang motor dari Tanjung Malim ke Rawang. Dari jauh aku dah nampak lencungan ke Bukit Tagar. Hati aku terdetik untok memasuki ke Bukit Tagar, ingin tau apa yang ada disini. Memang diketahui ramai oleh rakyat Malaysia, antara Bukit Tagar ke Bukit Beruntong sering berlaku kemalangan. Aku sering terjerempak dengan kemalangan disini biasanya melibatkan kereta sesama kereta yang hanya berlaku kurang setengah jam, sama ada ia melibatkan jalan keutara mahu pun keselatan. Pernah juga aku nampak sebuah kereta yang dipandu oleh seorang wanita hampir keretanya dengan tiba-tiba hendak merempuh pembahagian jalan, ketika itu aku sedang berehat dibawah jambatan highway Tanjung Malim-Kuala Lumpur. Aku terkejut juga, nasib baik tidak ada apa-apa berlaku sebab ketika kejadian tiada kereta lain dibelakang kereta wanita itu, jika ada tidak tahulah apa yang hendak di katakan. Berbalik pada kesah aku tadi sebaik aku masuk kejalan Bukit Tagar, sebuah lori kontina sampah meluru laju lalu lesap diliku-likut jalan menujuk ke Batang Kali. Aku menunggang motosikal agak pelahan dijalan yang agak sunyi kerana ingin melihat pemandangan. Dikiri kanan adalah kebun kelapa sawit. Aku asyik memandang kekiri dan kekanan jalan. Aku terlihat disebelah kiri jalan seorang perempuan tua didalam kebun sawit itu entah apa yang dicarinya dalam cuaca yang agak panas ini, tidak hairanlah dia tidak melihat aku. Tak apalah. Aku berhenti diatas sebuah jambatan,    dibawahnya sungai yang jauh kira-kira 30 kaki dari paras jambatan. Nampak gayanya tidak sesuai langsong untok aku memancing. Aku malas hendak pergi lebih jauh takut kehabisan petrol. Aku fikir lebih baik aku balik sahaja, dan datang lagi dilain masa. Aku patah balik dan terus memandu, dihadapan tertulis dipapah tanda Rawang-Kuala Lumpur. Aku terus masuk kearah lencongan yang ditunjukkan, dan memandu dengan laju. Cepat sampai. Setelah memasuki lebohraya, aku hairan apa pasal tidak nampak-nampak lagi lencongan ke Bukit Beruntong, aku kira sudah jauh berjalan, sepatutnya kurang daripada 10 minit sudah sampai. Aku rasa pelik sebab permandangan dikirim kanan jalan agak berbeza, namun aku teruskan perjalanan. Dan dari jauh aku nampak papan tanda yang menunjukkan ke Tanjong Malim. Adoh!!! Mengapa Tanjung Malim pulak. Apa sudah jadi dengan perjalanan aku ini. Akhirnya aku masuk kelaluan Tanjong Malim dan berpatah balik didepan Tol Tanjong Malim untok ke Kuala Lumpur.  Rupa-rupanya pemandangan aku telah dikelabui sesuatu di Bukit Tagar...Ini yang aku rasai sendiri. Memang Bukit Tagar ini tempatnya keras. Banyak orang cakap begitu. Anda semua tentu pernah dengar orang sesat didalam hutan, berpusing-pusing ditempat yang sama. Mungkin disini perkampongan jin. Dan sekali lagi aku tempoh juga Bukit Tagar.Tempoh saja. Akhirnya aku selamat juga sampai kerumah. Dan sampai sekarang aku belum lagi ke Bukit Tagar bagi kali kedua. Entah bila aku pun tidak tahu!!! Aku ini memang suka diganggui oleh jin itu pun belum dia ikut sampai kerumah..

Berbuka puasa diluar

  Dihujung-hujung Ramadan,  ramai diantara kita terutama suri rumahtangga dah malas turun kedapor bagi menyediakan makanan untuk berbuka. Mereka keluar untuk berbuka sama ada digersi-gerai, restoran atau hotel berdasarkan keinginan masing-masing. Saya pun macam mereka.

  Selewat lagi 15 minit waktu berbuka, saya keluar rumah, restoran pertama saya sampai telah penuh, lalu saya meneruskan perjalanan ke restoran kedua kira-kira 1km lagi, restoran ini penuh tapi masih ada tempat kosong. Saya tak mengenali seorang pun pengunjung di restoran ini, ternyata mereka orang luar yang singgah bagi meneruskan perjalanan ke dinasti masing-masing.

  Tidak ada menu yang istimewa di restoran ini, makanannya biasa saja seperti dibulan-bulan lain. Saya makan nasi putih dengan kari kambing dan segelas teh tarik. Yang seronoknya ramai orang. Mereka kelihatan ceria sekali. Begitulah keadaannya berbuka diluar.

Isnin, 31 Ogos 2020

HANTU JATI




Rumah yang aku duduk ini memang cukup besar. Untuk orang berkeluarga memang eluk sangat, tapi aku hendak duduk dimana lagi. Tempat ini baru bagi aku. Bukan aku hendak duduk lama-lama pun. Entah-entah tidak sampai setahun aku tinggal di sini. Rumah kerajaan. Didepan sebelah kanan pejabat kadi. Disebelah kiri Ibu Pejabat Polis Daerah. Cantik. Semuanya berdekatan dengan jalan besar. Orang disitu panggil jalan Kuantan. Ini dalam bandar Jerantut.

Satu malam aku tak boleh hendak tidur. Dah pukul 12.00 masih tidak mengantuk. Jadi aku duduklah diluar berihat-rihat diberenda. Tak ada apa hendak dibuat hanya melihat kereta lalu lalang.

Agak-agak kau orang aku ini penakut ke duduk dirumah besar sorang-sorang. Pada pendapat akulah daripada aku menyewa lebih baiklah aku duduk dirumah free. Sebenarnya aku baru ditukarkan dari Lipis ke Jerantut. Kerja punya pasal ada aku kesah. Tiba-tiba aku teringat cerita dari seorang pakcik, dia orang kampung Melayu Jerantut. Dia adalah seorang tukang rumah, dapat kontrak buat pejabat tempat aku bekerja didepan rumah inilah. Rupa-rupanya selama ini rumah yang aku duduk ini, dijadikan pejabat. Bila aku datang barulah hendak buat pejabat. Betul punya pejabat, bukan rumah tempat tinggal. Kembali kepada cerita pakcik tadi, dia kata dibelakang rumah ini ada kubur Jepun.
Orang yang duduk dirumah ni dulu ada jugak disakat hantu Jepun, kata pakcik itu. Semasa aku ambil alih tinggal dirumah ini, pegawai yang duduk di rumah ini tidak pula cerita apa-apa tentang rumah ini. Begitulah ceritanya. Pakcik ni nak buat aku takut gamaknya. Tapi aku
tidaklah pulak rasa takut. Aku biasa saja. Tidak patut pakcik itu cerita dekat aku macam itu.

Dihadapan rumah ini pulak ada sebatang pokok besar, pokok jati dan rendang, membuat suasana redup dan sejuk bila sing, tapi aku tidak syak apa-apa.
Dah dua bulan aku dekat sini okey saja. Setengah orang mesti ada nampak apa-apa diatas pokok tu malam-malam. Malaslah aku nak tengok apa-apa atas pokok tu. Bak kata orang tak ada kerja buat kerja
pulak.

Sudah terasa lama aku dekat luar, kereta semangkin kurang lalu lalang. Aku pun dah mula rasa mengantuk. Aku masuk rumah dan kunci pintu dan terus masuk bilik dan kunci. Aku tidur baring atas lantai je. Orang bujang. Lampu bilik dipadamkan. Aku tidak biasa tidur dalam terang. Tidak boleh tidur. Tempat tidur siap beralaskan tikar mengkuang dan sebiji bantal. Kesah apa aku.

Baru aku hendak lelap tiba-tiba terdengar bunyi dentuman sesuatu yang masuk kedalam rumah. Benda itu berlari-lari di ruang tamu. Berlari melanggar kerusi meja. Tidak cukup dengan itu dia melanggar pintu bilik utama sebelum benda itu dapat masuk dibahagian luar pintu bilik tidur aku dan barulah dia melanggar pintu bilik tidur aku. Teringat aku cerita pakcik tu, ini mungkin angkara hantu Jepun. Badan aku dah berpeluh ni tak dapat nak dibayangkan rasa ketakutan. Dalam hidup aku belum lagi mengalami kejadian seperti ini. Mungkin benda ini sudah berdiri didepan pintu bilik tidur aku. Keadaan sekarang senyap sunyi. Aku tak boleh buat apa-apa lagi. Mungkin dia tunggu aku buka pintu bilik tidur ku. Macam mana agaknya rupa hantu Jepun ni.. Masa aku di Kuala Lipis dulu, duduk menyewa sebuah rumah juga, tapi tiada kejadian pelik berlaku, walhal dibelakang rumah aku tinggal itu ada sungai yang dikatakan berhantu sampai sudah dia tidak ganggu aku.

Kembali ke cerita asal, aku fikir sampai tidak boleh fikir lagi, aku mengambil keputusan untuk keluar dari bilik tidur. Lampu bilik aku pasang. Pintu bilik dibuka. Tengok kiri kanan tidak ada apa-apa, tetapi pintu utama masuk ke bilik-bilik tidur terbuka. Ada dua bilik tidur. Yang satu itu tiada penghuni. Aku terus keruang bilik tetamu. Tiada kerusi yang berselerakan. Tapi tingkap ruang tamu terbuka. Terbuka kerana aku lupa untuk menutupnya. Aku memandang keluar melalui tingkap yang terbuka. Aku menyeru supaya pengacau mempamerkan dirinya. Tetapi tidak ada tindak balas. Aku tutup tingkap dan masuk ke bilik tidur. Dekat 1 jam aku tunggu kalau ada apa-apa tidak diingini berlaku dan terus terlelap sampai ke subuh.

Dipendekkan cerita hingga ke malam ketiga tiada apa-apa yang berlaku. Aku beritahu kepada seorang kawan untuk membakar pangkal pokok jati berkenan. Tetapi pokok itu tiada tanda-tanda akan mati sehinggalah aku ditukarkan bertugas ketempat lain enam bulan kemudian iaitu ke Temerloh.
Kesimpulan, aku teringat sebuah lagu berjudul Langsuir Liar, liriknya seperti berikut;
Bila keseorangan berwaspada,
Ia menghampiri menakutkan
Dan jika kau lemah,
Jadi mangsanya..

Memang benda-benda ghaib akan mengekori kita samada lelaki atau perempuan yang selalunya berseorangan...

Isnin, 27 Julai 2020

Jin Perasuk Bertindak Balas



Jumaat itu, aku menaiki bas Express MARA Kota Bharu-Kuantan-Kuala Lumpur tetapi aku turun di Benus, Bentong kerana rumah keluarga ku terletaknya di sini. Aku sebenarnya payah untuk pulang ke kampung disebabkan tugas, namun disebabkan aku perlu menyelesaikan satu tugas di Raub ia itu pada esok harinya. Jadi aku mengambil kesempatan cuti ini untuk pulang ke rumah menjenguk keluarga.

Sesampai aku dirumah, aku melihat adikku masih dalam keadaan yang sama seperti beberapa tahun yang lalu. Dia seorang adik lelaki yang menghidapi penyakit misteri selama bertahun-tahun. Kepulangan ku tidak dihiraukannya. Dia tidak mengetahui apa yang berlaku disekitar dirinya. Tidak sepatah perkataan yang keluar dari mulutnya, apatah lagi memalingkan muka kearahku. Dia seolah berada didunianya sendiri. Sudah bermacam-macam bomoh datang mengubatinya tetapi masih gagal.

Atas kehendak ayah, aku diminta belajar ilmu batin dan kedukunan. Dan kerana itulah aku berguru dengan seseorang yang aku panggil dia 'Abang'. Dia yang berasal dari Sumatera. Apa yang aku tahu, dia sorang bomoh yang handal pada masa itu. Namun, sepanjang aku berguru dengan beliau, aku belum pernah lagi mengubati sesiapa termasuk adik aku ini.

Jadi, pada malam itu aku ingin mencuba mengubati adik ku ini dengan ilmu yang aku pelajari itu. Aku mulakan dengan membaca mentera yang mudah-mudah seperti yang diajar sebagai permulaan. Aku tak mengambil masa yang lama dan sepanjang pengubatan itu tiada apa-apa yang pelik berlaku. 
Dan jika ada kesempatan lagi, aku akan sambungi lagi. Sekali lagi aku ulang cakap tidak ada apa-apa perubahan keatas adik aku itu. Dia tetap macam itu juga. Tidak berkesan.

Keesokannya aku pagi-pagi lagi berangkat ke Raub dengan menaiki bas. Perjalanan mengambil masa lebih kurang dalam 45 minit. Dan di dalam bas aku memilih untuk duduk di bahagian tengah bas. Tidak terlalu ramai penumpang pada hari itu.

Baru separuh perjalanan merentasi Lurah Bilut, tiba-tiba aku terasa pening dan mual. Aku cuba bertahan tapi beberapa saat kemudian semua isi perut aku terkeluar bersama lendir kehijauan bertaburan di lantai bas. Jari jemari ku tiba- tiba mengeleding seperti jari penari zapin dan badan ku mula mengeras. Aku telah dirasuk.

Aku lantas teringat, adakah kejadian ini ada kaitan dengan pengubatan aku malam tadi keatas adik aku itu. 'Abang' pernah memberitahu aku sebelum ini yang adik aku itu dikawal oleh dua ekor jin. Jin atau digelar sebagai jembalang oleh 'Abang' ini seekor jantan dan seekor betina. Dari kata-kata 'Abang' dia seperti tahu akan 'sesuatu'. Tetapi aku tidak mahu menuduh dan ambil tahu adakah jembalang itu dikirim seseorang untuk menghuru harakan keluarga aku. 

Sesampai aku di Raub, aku turun dari bas dalam keadaan badan yang masih mengeras. Aku berjalan seperti robot, nasib tiada penumpang perasaan apa yang berlaku keatasku tadi kerana aku lihat mereka terus turun dari bas seperti tiada apa yang berlaku.

Aku terus menapak ke Restoran kawan aku yang kebetulan terletak berhampiran hentian bas Raub. Aku ingin merehatkan diri dan memulihkan keadaanku disitu buat seketika. Aku meminta segelas air kosong, aku jampi dan minum hingga habis. Alhamdulillah, tenagaku beransur pulih dan aku meneruskan perjalanan yang tertangguh hampir satu jam. Al hamdulillah segala tugas yang diamanahkan kepada aku dapat diselesaikan dengan bantuan seorang sahabat aku. Tidak perlu aku beritahu tugas apa kerana ini sangat bersifat kepribadian. Faham..

Setelah setelah selesai tugas aku itu, aku pun baliklah ke Kuantan, beberapa hari kemudian aku mendapat perkhabaran dari keluargaku, mengatakan sakit adik aku bertambah tenat, tetapi aku tidak dapat balik menjenguknya disebabkan rentangan kerja. Dan beberapa bulan kemudian dia meninggal dunia dalam keadaan yang menyedihkan. Aku dapat balik untuk turut sama mengkebumikan jenazahnya.
Seisi keluarga berasa amat sedih sekali diatas apa yang telah berlaku. Sehingga kini aku tidak dapat mengeluarkan sebarang kenyataan diatas kematian adik aku itu apa penyebabnya. Kami berdoa semoga beliau tenang di alam sana setelah sekian lama hidup terseksa. Ajalnya sudah sampai. Kami menerima sajalah ketentuan Allah SWT itu.

Sabtu, 8 Februari 2020

Permainan Mahluk Halus

     Angin tak ada. Ribut tak ada. Tetiba saja aku diarah pindah ke Datok Keramat, Kuala Lumpur. Ini sudah masuk 4 kali pindah randah. Kuala Lipis ke Jerantut, Jerantut ke Temerloh, Temerloh ke Kuantan, Kuantan ke Bengkil MARA Dato Keramat Kuala Lumpur. Nasib baik aku seorang diri. Haru biru kalau aku berkeluarga. Pukul 12 malam aku berlepas dari Kuantan dengan menumpang bas Expres MARA Kota Bharu-Kuala Lumpur. Subuh lagi aku sudah sampai di Bengkil MARA. Inilah tempat kerja aku yang baru. Kerana masih mahu kerja aku datang. Aku sedia mengikut perubahan. Dan aku tidak mahu menjadi mangsa keadaan. Mana tahu ada rezeki lain di Kuala Lumpur ini.

     Disebelah bengkil tu ada sebuah gerai Melayu. Pagi, tengah hari,dan petang, disinilah aku makan minum. Diam diam sudah 3 bulan aku berada sini. Masa terus berlalu.

     Sudah hampir 3 hari aku tak tenguk muka makcik Meon ampunya gerai makan ini. Kemana agaknya. Dah 3 hari jugalah aku tak makan digerainya. Gerainya malap saja. Masuk hari ke 3 ini, kira-kira pukul 10 pagi, aku pergi juga kegerai itu, dengan harapan dapat berjumpa makcik Meon. Al hamdulillah dapat juga berjumpa makcik Meon. Keadaannya tak ceria, sugul dan tidak bermaya. Nampak sangat ketuannya.

     "Dah berapa hari saya tak nampak makcik?," tanya aku.
     "Ya lah Mid oi! Makcik demam!," jawab makcik Meon.
     "Makcik dah jumpa doktor?," tanya aku lagi.
     "Dah Mid, doktor kata badan makcik dah terlebih panas. Sebelum ni
     makcik dah berendam dalam tong belakang rumah, tapi tak hilang-
     hilang juga panasnya. Entahlah Mid,"sambong makcik dengan nada
     suara sedih. Aku angguk-anggukkan kepala tanda faham.
     "Ada wak Jawa tu buatkan air penawar, tapi makcik tak boleh nak
     minum..dia ludah air tu," sambong makcik Meon.

     Aku geling-geling kepala. Baru kali ini aku dengar orang meludah kedalam air yang dijampi. Sedang aku memikirkan hal makcik Meon, tiba-tiba aku naik semangat hendak membantu menyelesaikan kes ini. Aku teringat pesenan Tok Guru aku, seorang bomoh dari Sumatera, katanya, tunggu ilham sampai yang ada kaitan dengan orang yang sakit tu, baru boleh kita kerjakan dia. Kena kontek alam ghaib. Tunggu punya tunggu.. Ya...aku nampak sesuatu!! Memang tidak lojik langsong, apa yang  terbayang  ini, sesuatu yang tidak aku fikirkan,sebab ini pengelaman baru buat aku.

     "Makcik ada tak simpan apa-apa benda dalam masa 2 ke 3 hari ni,"
     tanya aku.
     "Benda! Kalau benda tak ada, tapi ikan haruan adalah makcik simpan
     dalam takong air," jawab makcik Meon.
    
     "Dimana makcik dapat," soal aku.
     "Wak Jawa tu yang bagi. Dia mandi senja senja kat lombong sebelah
     tu Mid, tiba-tiba haruan tu masuk kedalam kain cokinnya, apa lagi
     dia tak lepas," terang makcik.

     Aku pernah jumpa wak itu digerai ini, tapi tak pernah bertegur siapa. Umurnya kurang lebih 60 tahun ada. Wak itu memang setiap hari mandi ditepi lombong tidak jauh dari gerai tersebut pagi. Dia hidup sebatang kara dikawasan setinggan dibelakang bengkil tu. Kata makcik Meon, dia tinggal sereban dengan ayam-ayamnya.  Masyaallah!!

    "Ikan tu jangan makcik buat gulai. Nanti makcik lepaskan semula
     kedalam lombong tu ya," kata aku.
     Makcik Meon tercenggang, mungkin dia rasa pelik, sedang aku sendiri tidak tenguk ikan itu macam manakah rupanya. Lagilah gabera makcik Meon bila aku mintak pisau dan segelas air. Aku dengan makcik saja yang ada digerai ketika itu. Sambil memasukkan mata pisau itu kedalam cawan berisi air, aku membaca beberapa doa dan beberapa potong ayat Al Quran. Bila dah selesai jam-jam itu juga aku suruh makcik minum.
     "Makcik rasa satu macam je Mid..seram sejuk,bulu roma makcik naik.
     Makcik tak sangka orang muda macam kau ni boleh ubat orang," kata makcik. Tapi aku tidak cakap apa-apa pun pada makcik. Aku buat ikhlas kerana Allah tidak ada pengeras, tidak ada apa-apa bayaran. Aku rasa sudah tidak ada apa lagi. Aku kira kerja aku ini sudah selesai.
   
     Aku pun minta diri hendak cepat masuk pejabat, nanti bossku cari mampos aku. Sejak akhir-akhir ini aku rasa sudah tidak suka lagi bekerja disini. Dengar cerita aku hendak ditukarkan ke Pulau Pinang pulak. Mampos aku. Apa hal pun aku harap makcik cepat semboh senang aku nak makan minum. Sudah macam mak aku makcik itu. Pakcik Meon pun tak kesah,tapi dia jarang ada digerai. Tidak pulak aku tanya makcik apa kerjanya orang tua itu. Esuk pagi sebelum masuk pejabat aku singgah minum digerai makcik. Kelihatan makcik ceria dan lincah buat kerja. Al hamdulillah.

     Sementara nasib aku pula, setelah berada dibengkil ini selama 6 bulan, aku pun berhenti kerja. Aku dapat kerja baru disebuah jabatan ditengah-tengah kota raya Kuala Lumpur. Kerja baru aku ini tidak perlu berpindah randah lagi. Al hamdulillah.

Keterangan:

     Mengapa mahluk halus dan ahli sihir suka gunakan ikan haruan bagi tujuan jahat mereka? Sebabnya ialah ikan itu tahan lasak, nyawanya kuat dan semangatnya boleh dikawal. Haruan boleh hidup didalam tanah lembab tanpa air dalam jangka masa yang lama. Apa tah lagi jika ada air walau pun airnya sangat kotor, haruan masih boleh hidup.